AM

MEGAH PORT LABUAN, KPDN BEKERJASAMA PASTIKAN BEKALAN BARANGAN PENGGUNA STABIL

05/09/2024 04:19 PM

LABUAN, 5 Sept (Bernama) -- Pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) mengukuhkan kerjasamanya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan bagi memastikan kestabilan bekalan barangan pengguna dengan pemantauan yang baik di pulau bebas cukai itu.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain dalam menekankan kepentingan kerjasama ini, mengiktiraf peranan penting MPM sebagai pengendali pelabuhan dalam memastikan barangan pengguna dihantar dengan lancar ke pasaran.

“Kita pantau dengan teliti bekalan barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan keperluan lain yang datang melalui MPM. Kita mahukan kerjasama erat dari Megah Port, dan kelewatan dalam pergerakan kargo perlu dilaporkan kepada KPDN bagi memastikan aliran lancar, terutama bagi barangan penting,” katanya kepada Bernama selepas kunjungan hormat pengurusan MPM di KPDN Labuan hari ini.

Beliau seterusnya memuji inisiatif MPM dalam membina hubungan erat dengan agensi kerajaan berkaitan, yang akan memperkemas lagi pergerakan barangan di seluruh pulau.

Ketua Pegawai Operasi MPM Datuk Seri Patrick Tiong yang berkongsi keyakinannya mengenai kerjasama dengan KPDN pada masa depan berkata MPM komited untuk menyokong usaha kementerian dalam memastikan barangan pengguna sampai kepada orang ramai dengan cekap.

“Ketika ini, MPM mengendalikan kurang daripada lima peratus barangan yang boleh dimakan, kira-kira 15 peratus bukan barangan pengguna, dan baki 80 peratus adalah kargo berkaitan minyak dan gas.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan