BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

RM10 JUTA UNTUK APLIKASI PAUTAN DIGITAL HOSPITAL DI SARAWAK – ABANG JOHARI 

06/09/2024 10:57 AM

KUCHING, 6 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM10 juta untuk memasang aplikasi pautan digital di semua hospital kerajaan di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kelulusan itu dibuat minggu lepas dengan tambahan RM1 juta turut diperuntukkan untuk tiga petugas neurologi Hospital Umum Sarawak menjalani latihan peralatan khusus.

Beliau berkata aplikasi pautan digital itu akan membolehkan perkongsian maklumat perubatan segera dalam kalangan doktor bagi memudahkan rawatan pesakit.

"Ini akan menjadi satu lagi kemajuan teknologi penting (untuk perkhidmatan perubatan Sarawak)," katanya pada majlis makan malam Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini malam tadi.

Mengenai keperluan menghantar petugas neurologi menjalani latihan khusus, beliau berkata bilangan pekerja terlatih untuk mengendalikan peralatan khas bagi proses rawatan neurologi di hospital berkenaan masih tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Abang Johari memohon Kementerian Kesihatan mengkaji semula dasar supaya pakar neurologi di hospital kerajaan di Sarawak dibenarkan menjadi pakar tamu di Pusat Pakar Perubatan Normah, hospital swasta milik kerajaan negeri di sini.

Beliau berkata pusat perubatan itu akan membeli peralatan untuk masalah neuro tidak lama lagi, tetapi perlu mempunyai pakar neurologi.

"Memandangkan (Pusat Pakar Perubatan) Normah ialah hospital milik kerajaan negeri, saya harap kita dapat bekerjasama (dengan Kementerian Kesihatan) untuk membenarkan pakar (neurologi) (dari hospital kerajaan Persekutuan) berkhidmat di Normah," katanya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni turut hadir pada majlis makan malam itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan