DUNIA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR US

06/09/2024 07:50 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam persekitaran jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menokok 18 peratus kepada 4.3275/3330 berbanding dolar US daripada 4.3360/3400 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Rashid berkata peniaga berhenti seketika membeli mata wang itu kerana gesaan untuk penurunan kadar faedah di AS mendapat momentum sokongan, didorong oleh data pekerjaan yang lemah baru-baru ini.

Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP adalah di bawah jangkaan, merekodkan 99,000 pekerjaan pada bulan Ogos manakala Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Pusing Ganti Buruh (JOLTS) AS menunjukkan bahawa bilangan pembukaan pekerjaan di AS merosot lebih daripada jangkaan kepada 7.67 juta pada Julai.

"Pada masa yang sama, prospek julat yang mengecil antara Kadar Dana Fed (FFR) dan kadar dasar semalaman (OPR)  telah menyumbang kepada prestasi positif ringgit," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Bagaimanapun, peniaga akan menumpukan perhatian terhadap data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini untuk panduan selanjutnya.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.8087/8148 daripada 4.8099/8144 ketika ditutup pada Khamis, menokok berbanding pound Britain kepada 5.7010/7083 daripada 5.7049/7101 tetapi merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0296/0337 daripada 3.0189/0219 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 281.3/281.9 daripada 281.5/281.9 semalam tetapi merosot berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.75 daripada 7.71/7.72.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3327/3372 daripada 3.3303/3336 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9087/9305 daripada 12.8772/8940 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan