AM

KERAJAAN TERUS GIAT LANGKAH PASTIKAN NEGARA STABIL, MESRA PERNIAGAAN - PM ANWAR

07/09/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan terus menggiatkan usaha memastikan negara terus stabil, di samping mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah kerajaan yang berterusan membaiki tatekelola, memerangi rasuah dan memberi tumpuan terhadap pelaburan bernilai tinggi, semakin berhasil dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat.

"Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara terus berada dalam keadaan yang lebih baik. Ekonomi negara telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dengan kadar 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024.

"Di samping itu, pemulihan terkini Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat dan mata wang utama lain, bersama dengan kenaikan pantas FBM KLCI tahun ini, turut menunjukkan keyakinan pelabur. Ini menjadi bukti jelas bahawa dasar-dasar dilaksanakan Kerajaan MADANI telah membuahkan hasil positif, Alhamdulillah," katanya, dan menambah negara kini antara destinasi pilihan untuk pelaburan global. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Sementara itu Anwar berkata kerajaan menyedari angka-angka pertumbuhan tidak bermakna jika hasilnya tidak melimpah kepada rakyat. 

Justeru beliau berkata matlamat yang ingin dicapai menerusi rangka kerja Ekonomi MADANI adalah sosio-ekonomi masyarakat yang lebih saksama dengan pendapatan rakyat meningkat, mengurangkan kos sara hidup dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial. 

"Kerajaan Kebawah Duli Tuanku akan terus berusaha keras untuk meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu, prasarana kesihatan dan perumahan mampu milik supaya rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya. 

Mewakili kerajaan dan rakyat jelata, Anwar turut merafak sembah mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi dan merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta terus diberi keafiatan dan penuh kedaulatan.

Beliau turut menyampaikan ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas ihsan dengan hikmah dalam memayungi negara. 

"Sesungguhnya sebagai Raja Berperlembagaan, peranan Kebawah Duli Tuanku amat penting dalam memelihara kestabilan dan keharmonian negara. Kebawah Duli Tuanku adalah payung perpaduan dan penaung keutuhan negara. 

"Titah Kebawah Duli Tuanku dalam menasihati kerajaan sering kali mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata," katanya. 

Anwar bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat turut mendoakan agar negara di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong terus dilimpahi rahmat dan berkat, bebas daripada sebarang musibah dan kekal aman makmur sepanjang zaman.

“Semoga ikatan kasih sayang antara Raja dan rakyat terus utuh dari zaman ke zaman. Kerajaan dan rakyat sekalian juga memohon untuk menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran pertama yang disempurnakan Seri Paduka Baginda setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai lepas.

Turut berangkat ke istiadat  berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seramai 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi dalam istiadat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan