AM

DIPLOMAT UCAP TAHNIAH KEPADA AGONG SEMPENA HARI KEPUTERAAN RASMI

07/09/2024 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Dekan Kor Diplomatik di Malaysia Vanu Gopala Menon, bagi pihak kor diplomatik di Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

“Bagi pihak kor diplomatik di Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Keputeraan kepada Seri Paduka Baginda.

“Kami mendoakan kesihatan dan kebahagiaan kepada Seri Paduka Baginda berdua. Kami juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Malaysia. Selamat menyambut Hari Keputeraan, Tuanku,” katanya.

Dalam ucapan tahniahnya, Menon memuji komitmen tidak berbelah bahagi Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sejak awal pemerintahan.

Beliau juga menekankan usaha Yang di-Pertuan Agong untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, menyeru agar rakyat dari semua lapisan masyarakat berinteraksi antara satu sama lain sejak usia muda.

“Usaha Seri Paduka Baginda untuk memupuk generasi dengan penghayatan berkekalan terhadap budaya, kepercayaan dan amalan masing-masing akan mengukuhkan struktur sosial Malaysia dan merealisasikan visi Seri Paduka Baginda untuk Malaysia yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Menon yang juga Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia berkata kor diplomatik turut meraikan penerima anugerah, darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sebagai mengiktiraf sumbangan penting mereka kepada kemakmuran dan kejayaan Malaysia yang berterusan.

Sementara itu, beliau berkata di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Malaysia terus menikmati kestabilan politik, membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan pekerjaan baharu serta berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ini bukan saja meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi juga memberi petanda baik kepada tahap pembangunan negara pada masa akan datang, serta memperkukuh usaha Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia,” katanya.

Mengenai Kepengerusian ASEAN tahun depan, Menon berkata beliau yakin bahawa di bawah naungan Sultan Ibrahim, kerajaan Malaysia akan mengatasi cabaran serantau dan dunia, mengenal pasti bidang kerjasama baharu dan memperkukuh perkongsian ASEAN dengan masyarakat global.

Menon turut menegaskan komitmen kor diplomatik untuk bekerjasama rapat dengan Seri Paduka Baginda, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran pertama yang disempurnakan Seri Paduka Baginda setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai lepas.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan