JENAYAH & MAHKAMAH

TIADA BUKTI BEKAS AHLI POLITIK, SUAMI TERBABIT AKTIVITI PEMERDAGANGAN MANUSIA- KPN

07/09/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Setakat ini tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan seorang ahli politik dalam negara dan suaminya, dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap akaun bank milik beberapa individu termasuk ahli politik berkenaan, serta keterangan daripada 11 individu lain mendapati, tiada pelaburan dibuat oleh mereka di luar negara, yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Walaupun polis sebelum ini mengesahkan keberadaan ahli politik itu bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah, bagaimanapun beliau berkata siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat di negara terbabit.

Beliau memberitahu Bernama bahawa siasatan kini tertumpu kepada peranan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ disyaki sebagai dalang yang bertindak mencari pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.

Pada 28 Ogos lepas beberapa media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar sejak awal 2020, namun ahli politik berkenaan menafikan pembabitannya dan sudah membuat laporan berhubung perkara itu.

Baru-baru ini tular sebuah video pembongkaran sindiket di Myanmar itu menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia dengan memaparkan rakyat negara itu turut menjadi mangsa pemerdagangan manusia.    

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan