AM

GAGASAN MALAYSIA MADANI WUJUDKAN KEHARMONIAN SEJAGAT - ZULKIFLI

07/09/2024 06:24 PM

SEREMBAN, 7 Sept ( Bernama) -- Gagasan Malaysia MADANI yang konsisten dalam menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang setiap masyarakat mampu mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan sejagat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata ia juga mampu menjamin kemajuan dan peradaban ajaran Islam melalui ilmu pengetahuan yang lebih komprehensif.

“Dalam membangun Malaysia MADANI, keterangkuman dimensi intelektual dan kerohanian dalam keseimbangan pembangunan kapasiti fizikal harus menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Sanawi ke-53 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.

Sementara itu Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata forum yang dihadiri 500 peserta hari ini bertujuan menegaskan semula iltizam dalam merealisasikan konsep Malaysia MADANI termasuk melalui naratif ekonomi, manusiawi, alam sekitar dan peranan masyarakat.

"ABIM berpandangan bahawa rakyat perlu dicerahkan, kekuatan rakyat harus digembleng dengan optimum bagi mengukuhkan masyarakat MADANI di negara ini.

"Kita perlu melahirkan masyarakat yang matang, patriotik, demokratik, dan bertatasusila bagi menyatukan semula kefungsian sosial seluruh masyarakat dalam negara selari dengan gagasan Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan