AM

INISIATIF ZON BEBAS KENDERAAN DI BANDA HILIR TERIMA DUA ANUGERAH MBOR

08/09/2024 01:51 PM

MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir hilir yang genap setahun hari ini menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dua pengiktirafan itu ialah 'First First Aid Station in a Car Free Zone' dan 'Longest Duration for Car Free Zone'.

“Kita lihat perkembangan positif membabitkan pengunjung dan pelancong apabila merekodkan kehadiran kira-kira 1.3 juta orang sepanjang setahun ini.

“Dengan purata 100,000 pengunjung dan pelancong sebulan, menunjukkan indikator ekonomi baik kepada para peniaga yang berkait dengan sektor pelancongan sekali gus memberi pulangan baik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian seminar 'Vibrant Melaka: Creating a People-Centric Living Spaces' sempena sambutan ulang tahun pertama Program Santai@Banda Hilir dan sambutan setahun Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Azhar Arshad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Ab Rauf berkata inisiatif Zon Bebas Kenderaan diwujudkan dengan objektif untuk mengurangkan asap kenderaan atau pelepasan karbon bagi memelihara bangunan warisan di samping mempamerkan kepekaan kerajaan negeri terhadap kesesakan aliran trafik, khususnya pada hujung minggu.

“Saya yakin, selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebuah kota selamat dan mesra pelancong, langkah proaktif ini dilihat signifikan bagi meraikan pengunjung menikmati kebebasan suasana pelancongan tanpa kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan