AM

PETRA, JOHOR KERJASAMA PASTIKAN BEKALAN AIR DAN TENAGA CUKUP BAGI PELABUR

08/09/2024 07:19 PM

KLUANG, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama erat dengan kerajaan Johor bagi memastikan bekalan air dan tenaga mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu sejajar pertumbuhan pusat data di Johor selain pelaksanaan inisiatif ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Saya ucapkan syabas kepada kerajaan Johor kerana ada perancangan memastikan isu bekalan air di kawasan ini tidak berulang, apatah lagi negeri ini merupakan tempat tumpuan pelabur khususnya JS-SEZ selain pusat data.

"PETRA akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Johor untuk memastikan bekalan air yang diperlukan pelabur selain bekalan tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui," katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Kahang sempena Lawatan Kerja di Daerah Kluang di sini hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jika ia dilaksanakan, kerajaan pusat dan negeri akan dapat memastikan kesejahteraan, keterjaminan air dan tenaga selain turut menjaga kelestarian alam sekitar. 

Sementara itu, Fadillah berkata pembinaan LRA Kahang yang menelan kos RM149 juta dan berkapasiti 40 juta liter sehari dengan tempoh operasi pertama (OP1) bermula 1 April 2024 hingga 31 Dis 2027, dijangka menamatkan gangguan bekalan air di Kluang dan kawasan berdekatan.

"LRA ini mampu memberi manfaat kepada 21,500 akaun pengguna dan membekalkan air kepada kira-kira 86,000 orang termasuk di kawasan Felda Bukit Permai, Renggam, Layang-Layang dan Gugusan Murni Jaya.

"Lawatan kerja ini merupakan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur asas baik dalam penyediaan bekalan air bersih mahupun tenaga elektrik mencukupi," katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan syarat baharu pembangunan pusat data di negeri ini membabitkan penggunaan kitar semula air, air hujan dan teknologi terkini.

Lee berkata langkah itu dibuat bagi mengelakkan bekalan ke pusat data menjejaskan penggunaan air dan tenaga elektrik domestik di negeri ini susulan pihaknya menjangkakan pusat data di Johor akan terus berkembang pesat hingga 2028.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan