AM

ANWAR GESA PROJEK BAWAH PIKAS 2030 TERAP PRINSIP TATAKELOLA TEGAS, TIADA TOLAK ANSUR

09/09/2024 03:53 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek-projek di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 diterapkan dengan prinsip tatakelola yang tegas dan tidak bertolak ansur.

Beliau berkata di bawah Kerajaan MADANI, pelan tersebut harus juga memikirkan soal kadar upah pekerja bagi syarikat kerjasama awam-swasta dengan mengambil kira aspek keperluan keluarga merangkumi perumahan, pendidikan serta kesihatan mengikut keadaan dan keupayaan syarikat.

“Ini keistimewaan konsep PPP (Public-Private Partnership) di bawah Kerajaan MADANI. Jadi apa saya nak sampaikan adalah bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta dan sosial dengan mengambil kira konsep ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di sini hari ini.

PIKAS 2030 bertujuan mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta sebagai usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.

Perdana Menteri berkata matlamat pelan strategik itu adalah untuk menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh dan mampan bagi memacu kesejahteraan negara.

Beliau berkata Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan memainkan peranan untuk memastikan kepesatan serta kelulusan yang tidak terikat karena birokratik berlebihan terhadap projek-projek di bawah PIKAS 2030.

“Ia tidak boleh berganjak daripada prinsip utama mengenai tatakelola, untuk mengelak dari sebarang kecurangan yang menjahanamkan impetus perubahan,” katanya sambil mengakui terdapat keperluan untuk Malaysia memperbaiki beberapa aspek tatakelola dalam melancarkan pembangunan projek di negara ini.

“Kita tahu lebih 510 projek PPP yang telah diadakan, sebahagian besarnya mengikut tatakelola yang ketat, tetapi ada juga yang menunjukkan sedikit kelemahan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan terdapat 510 projek PPP di Malaysia. Projek-projek itu berbeza dari segi skala dan jenis, dan ia diuruskan di bawah model berbeza seperti Bina-Kendali-Pindah (Build-Operate-Transfer - BOT), Bina-Pajak-Selenggara-Pindah (Build-Lease-Maintain-Transfer - BLMT) dan lain-lain, bergantung kepada sifat dan keperluan projek.

Kerajaan Malaysia menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri, menyelia projek-projek ini untuk memastikan ia dilaksanakan selaras dengan objektif pembangunan negara.

“Kita boleh menjadi sebuah negara yang hebat jika kita mempunyai seluruh kekuatan dalam masyarakat daripada pemimpin hingga rakyat… dan sektor swasta serta pekerja (dalam sektor awam) mempunyai keazaman bersama untuk memartabatkan masa depan negara kita, memastikan keamanan dan keselamatan .

“… dan percayalah, saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa negara ini, Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara yang hebat,” katanya.

Majlis Peluncuran itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan