DUNIA

PRESIDEN JOKOWI PINDAH KE PEJABAT PRESIDEN DI NUSANTARA PADA SELASA

09/09/2024 04:12 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Sept (Bernama) -- Presiden Joko Widodo, dikenali mesra sebagai Jokowi, akan bertugas daripada pejabat baharunya di ibu kota baharu Nusantara (IKN), Kalimantan Timur pada Selasa, sementara menunggu tempoh tamat pentadbiran beliau pada 20 Oktober.

Beliau ingin merasai pengalaman bekerja di Istana Garuda yang telah siap untuk digunakan dari 10 September hingga 19 Oktober, sebelum jawatan presidennya diserahkan kepada Presiden terpilih Prabowo Subianto.

“Adalah difahami bahawa Presiden ingin bekerja di IKN sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada penggantinya. Lagipun, projek ini adalah legasinya,” kata Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi, dipetik portal berita Liputan6.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkata Jokowi akan meneruskan lawatan kerja ke luar kawasan dan mungkin akan menyerahkan beberapa tanggungjawab kepada Naib Presiden Ma’ruf Amin.

Ketua Sekretariat Presiden Heru Budi Hartono pada Sabtu menyatakan Jokowi akan mendapat sokongan penuh daripada Sekretariat Presiden semasa bekerja selama 40 hari di IKN, dan beberapa unit Sekretariat telah berpindah ke ibu kota baharu itu.

Jokowi pada asalnya merancang untuk mula bekerja di IKN pada bulan Ogos, namun ditangguhkan kerana infrastruktur asas seperti lapangan terbang dan bekalan air belum siap sepenuhnya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan