AM

DNS: MCMC ANJUR SESI LIBAT URUS DAPATKAN CADANGAN PIHAK BERKEPENTINGAN

09/09/2024 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menganjurkan program libat urus bersama syarikat-syarikat teknologi bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengalihan Domain Name System (DNS).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas dan membetulkan persepsi masyarakat mengenai isu DNS.

Suruhanjaya itu memaklumkan, libat urus itu juga bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk pakar, mengenai pendekatan alternatif dalam menangani isu kandungan memudaratkan.

“Pada sesi libat urus tersebut, perkara yang dibincangkan melibatkan pengurusan DNS dan usaha-usaha oleh MCMC dalam memerangi kandungan memudaratkan menerusi kempen advokasi dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, suruhanjaya itu akan terus mengadakan sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan lain dari semasa ke semasa berhubung isu DNS ini.

Terdahulu, sesi libat urus berkenaan dikendalikan Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dan Ketua Kaunsel Perundangan MCMC LS. Leonard.

Sesi itu turut disertai Ketua Bahagian Pengurusan Keselamatan Rangkaian dan Maklumat MCMC Syed Mokhsien Syed Mansor dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif dari Cybersecurity Malaysia Mohd Zabri Adil Talib, wakil-wakil syarikat teknologi serta pihak industri.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan