AM

PBBPP LANCAR EDISI KEDUA PENANG HILL NATURE TRAIL COMPANION

09/09/2024 05:37 PM

GEORGE TOWN, 9 Sept (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melancarkan edisi kedua buku ‘Penang Hill Nature Trail Companion’ dalam usaha memelihara Rizab Biosfera Bukit Bendera, menekankan kepentingan mendidik murid sekolah dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap alam semula jadi.

Pengurus Besar PBBPP Datuk Cheok Lay Leng berkata edisi kedua itu merupakan kerjasama antara PBBPP dan pengarang serta kurator Wong Yun Yun dan Ng Hong Jing dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

"Edisi pertama buku Penang Hill Nature Trail Companion yang diperkenalkan pada 2018 dan ditaja oleh PBBPP menjadi sumber bernilai untuk pembelajaran luar bagi kanak-kanak kerana ia menyediakan panduan kepada flora dan fauna Bukit Bendera, dilengkapi dengan bilik darjah alam semula jadi pendidikan yang dikendalikan oleh NatureWalks.

"Hari ini, PBBPP dengan sokongan NRES sangat teruja untuk menghasilkan edisi kedua buku Nature Trail Companion 2 dan ia bertujuan mengeratkan hubungan antara pembaca dan alam semula jadi, terutamanya memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka dan menghargai keajaiban Rizab Biosfera Bukit Bendera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata edisi baharu itu memberi penekanan untuk meningkatkan kesedaran tentang kekayaan biodiversiti Bukit Bendera dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar sambil memperkenalkan Rizab Biosfera Bukit Bendera.

Cheok berkata buku itu menampilkan ilustrasi yang menarik dan direka untuk mendidik dan menawan hati murid sekolah, menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti luar.

Selain itu, katanya PBBPP juga komited untuk menggunakan buku terbabit sebagai medium pendidikan untuk semua dan akan menyediakan salinan percuma atas permintaan khas, memastikan semua orang berpeluang untuk mempelajari dan menghargai warisan semula jadi.

"Kami berharap buku itu dapat memupuk rasa tanggungjawab dan penjagaan dalam kalangan pembaca golongan muda, membantu mereka memahami bahawa kepentingan memelihara alam semula jadi dan warisan Bukit Bendera serta kawasan sekelilingnya bukan hanya untuk hari ini tetapi juga usaha berterusan untuk memastikan permata ini dipelihara demi generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan