AM

FAMA PERLIS SASAR RM200,000 HINGGA RM250,000 JUALAN PRODUK USAHAWAN PADA MAHA 2024

09/09/2024 08:31 PM

KANGAR, 9 Sept (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menyasarkan kutipan jalan antara RM200,000 dan RM250,000 daripada 47 produk usahawan Perlis pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Pengarah FAMA Perlis  Mohd Anzara Azizan berkata seramai 10 usahawan di bawah bimbingan FAMA Perlis yang terdiri daripada dua sektor iaitu lima dari Industri Makanan Asas Tani (IMAT) dan lima dari Makanan Popular akan menyertai pameran itu tahun ini.

"Alhamdulillah, melihat kembali penganjuran pada dua tahun lepas, 10 usahawan yang kita bawa berjaya mencatat jualan sebanyak (hampir) RM150,000, kita optimis tahun ini mungkin dapat tingkatkan ke RM200,000 atau RM250,000 jualan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Anzara berkata 47 produk daripada usahawan Perlis yang dibawa ke MAHA 2024 merupakan peningkatan berbanding 30 produk pada penganjuran pameran itu pada 2022.

Beliau berkata antara keistimewaan MAHA 2024 ialah pengenalan produk hiliran berasaskan Harumanis, yang diharapkan dapat menarik orang ramai untuk mengunjungi Perlis dan merasai sendiri Harumanis pada musim akan datang, serta merancakkan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

"Produk yang kita bawa ini adalah untuk memberikan kesedaran awal, di mana produk-produk hiliran Harumanis seperti jem Harumanis yang kita pamerkan merupakan satu tarikan awal. Ini adalah persediaan untuk mempromosi secara awal dan menarik minat orang ramai datang ke Perlis menikmati buah tersebut secara segar pada tahun hadapan," katanya.

Penganjuran MAHA berlangsung dua tahun sekali dan MAHA 2024 dijadualkan pada 11 Sept hingga 22 Sept di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.        

 -- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan