JENAYAH & MAHKAMAH

ROSMAH GAGAL DALAM PERMOHONAN SUPAYA HAKIM TARIK DIRI DENGAR KES SAMAN 1MDB 

09/09/2024 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam permohonan supaya hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kes saman sivil US$346 juta difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya.

Saman 1MDB dan 10 syarikat lain terhadap isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, adalah berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih US$346 juta, yang didakwa diperoleh menerusi penyelewengan dana 1MDB.

Pada prosiding hari ini, Hakim Adlin Abdul Majid yang menolak permohonan Rosmah berkata pemohon gagal menunjukkan sebarang risiko berat sebelah, sekiranya beliau mendengar kes saman berkenaan.

Menurut hakim itu, beliau berada di bahagian korporat semasa berada di firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill (LHAG), dan segala urusan berkaitan 1MDB diuruskan oleh bahagian perundangan.

“Oleh itu, saya menolak dakwaan bahawa terdapat real danger of bias. Permohonan oleh pemohon ditolak dengan kos,” katanya yang turut mengarahkan Rosmah membayar kos RM10,000.

Hakim itu turut menetapkan 20 Sept ini untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan difailkan pada 25 Jun, Rosmah memohon Hakim Adlin yang sedang mendengar saman itu untuk menarik diri, atas alasan hakim tersebut pernah menjadi peguam di firma guaman LHAG.

Hakim Adlin merupakan rakan kongsi firma berkenaan pada Mac 2011 hingga Mac 2021, sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 April 2021.

Menurut Rosmah, beliau percaya bahawa Tetuan LHAG dilantik 1MDB seawal 2018 untuk mewakili syarikat itu, bagi mendapatkan semula aset-aset milik 1MDB.

Selain 1MDB, tuntutan mahkamah difailkan pada 9 Mei lepas menyenaraikan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited, dan SRC International Sdn Bhd sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Lima syarikat lain terdiri daripada Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited, disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga ke-11.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, 1MDB mendakwa Rosmah memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan dana syarikat berkenaan berjumlah lebih US$346 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.

Oleh itu, kesemua plaintif antara lain menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau sejumlah amaun ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam manakala kesemua plaintif diwakili peguam Datuk Lim Chee Wee.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan