SUKAN

GASTAK SASAR KELANTAN WARRIORS LAYAK KE SEPARUH AKHIR LIGA PREMIER STL

10/09/2024 11:16 AM

KOTA BHARU, 10 Sept (Bernama) -- Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) meletakkan sasaran kepada Kelantan Warriors untuk layak ke separuh akhir saingan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL 2024) yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dari 11 hingga 15 Sept depan.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata sasaran itu diletakkan berdasarkan prestasi semasa pasukan Kelantan Warriors ketika ini.

“Kita yakin pemain mampu mencapai sasaran ke separuh akhir kerana mereka masih berada dalam momentum cukup baik selepas menjadi juara Divisyen 1 baru-baru ini.

“Para pemain membuat persiapan cukup rapi bagi menghadapi Liga Premier yang disertai pasukan berkualiti, dibarisi pemain-pemain berstatus bintang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam di sini semalam.

Pada saingan Liga Premier nanti Kelantan Warriors diundi dalam Kumpulan A bersama dua pasukan lain iaitu Kuala Lumpur Thunder dan Bomba Figthers.

Abdul Fattah berkata Gastak tidak memberi tekanan kepada pemain Kelantan Warriors untuk mencapai sasaran empat pasukan terbaik pada saingan Liga Premier.

“Kita akui dua pasukan yang diundi bersama itu adalah antara pasukan pilihan pada saingan kali ini, namun kita tidak mahu pemain mudah menyerlah kalah, malah mereka perlu memberi saingan sengit.

“Kita juga berharap penyokong khususnya rakyat Kelantan yang berada di Selangor turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada Kelantan Warriors sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan