AM

MBSA ARAH PENGENDALI ZIPLINE HENTI SEMENTARA OPERASI HARI INI

10/09/2024 05:18 PM

SHAH ALAM, 10 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengarahkan pihak pengendali Zipline Shah Alam di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 iaitu Hikers Climbers memberhentikan pengoperasian untuk hari ini bagi pemeriksaan peralatan.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan memaklumkan kemudahan rekreasi ‘flying fox’ atau terbang kelawar di situ akan dibuka semula pada 9.30 pagi esok.

Penutupan itu susulan insiden dua beranak yang tersangkut pada kemudahan berkenaan pada jarak 50 meter, 5 petang Ahad lepas.

“Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang, MBSA telah mengarahkan agar pihak pengendali memberhentikan pengoperasian Zipline Shah Alam buat sementara waktu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pasangan suami isteri bersama dua kanak-kanak mendaftar untuk menaiki Zipline dan pihak pengendali telah menjalankan prosedur yang ditetapkan iaitu memastikan kanak-kanak mematuhi had umur serta berat tidak melebihi 90 kilogram. 

Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah juga perlu ditemani oleh orang dewasa dan menandatangani 'liability form’.

“Setelah pasangan itu bersama anak-anak mereka menaiki kemudahan rekreasi tersebut dan berlepas, zipline isteri serta anak telah tersangkut pada jarak kira-kira 50 meter.

“Pihak Hikers Climbers telah mengambil tindakan pantas dengan menyelamatkan mereka dalam tempoh kurang daripada 15 minit selepas kejadian berlaku dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” maklum kenyataan itu.

Bagi prosedur keselamatan setiap pengunjung akan diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian setiap peralatan sebelum menaiki zipline tersebut.

Media sebelum ini melaporkan video tular berdurasi dua minit memaparkan dua beranak berdepan detik cemas tergantung pada ketinggian dianggarkan 30 meter selepas ‘flying fox’ itu tersangkut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan