EKONOMI

TESLA BUKA PUSAT SERVIS DI PULAU PINANG

10/09/2024 05:31 PM

GEORGE TOWN, 10 Sept 10 (Bernama) -- Tesla Malaysia (Tesla) mengumumkan pembukaan pusat servis baharunya di Pulau Pinang hari ini bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat di wilayah utara Malaysia.

Pengarah wilayahnya Isabel Fan berkata ini akan menjadi pusat servis kedua Tesla di negara ini susulan penubuhan pusat servis pertama di premis yang sama dengan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

“Pusat servis di Pulau Pinang adalah pelaburan kami supaya pelanggan tidak perlu berasa bimbang sekiranya mereka perlu memeriksa atau membaiki kereta mereka,” katanya pada acara Tesla’s Updates in Penang di pusat beli-belah Gurney Plaza, di sini ,hari ini.

Fan berkata pemilik Tesla jarang memerlukan kenderaan mereka untuk diperiksa di pusat servis kerana kebanyakan penyelesaian boleh disampaikan kepada pelanggan secara dalam talian.

Menurutnya, pusat servis yang terletak di Taman Perindustrian Seberang Jaya di Perai itu menawarkan sokongan perkhidmatan 24 jam dan dilengkapi dengan bengkel badan kereta serta cat yang canggih.

Beliau berkata bagi menggalakkan mobiliti mampan di wilayah Utara, mulai Khamis (12 Sept) dan seterusnya, pemilik Tesla baharu boleh menerima penyerahan kereta mereka di Pulau Pinang dan tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur untuk mengambil kenderaan.

"Selama dua hari (12-13 Sept, 2024), kira-kira 25 kenderaan akan diserahkan kepada pemilik Tesla baharu di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut hadir bagi melancarkan Stesen Pengecas V4 pertama Tesla di Pulau Pinang, yang terletak di aras letak kereta bawah tanah pusat beli-belah tersebut.

Chow berkata dengan tambahan ini, rangkaian pengecasan Tesla di Malaysia bertambah kepada 12 Stesen Pengecas Super dengan jumlah 56 pengecas serta 13 stesen Pengecas Destinasi dengan 69 pengecas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan