AM

UNISZA, UNIVERSITI PANTAI TIMUR PERTAMA MILIKI PUSAT SATELIT ISN

10/09/2024 05:51 PM

KUALA NERUS, 10 Sept (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di Pantai Timur yang memiliki Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN).

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata penubuhan pusat itu memberi fokus kepada perubatan sukan dan sudah beroperasi sejak Oktober tahun lepas di Kompleks Sukan di Fakulti Sains Kesihatan UniSZA, di sini.

Beliau berkata pelbagai jenis perkhidmatan perubatan dan rehabilitasi sukan termasuk ujian diagnostik dan radiologi, rehabilitasi pemulihan kecederaan, ujian kecergasan serta konsultasi pemakanan sukan ditawarkan di pusat berkenaan.

"Penubuhan Pusat Satelit ISN adalah hasil kerjasama baik antara UniSZA, ISN dan Hospital Sultan Zainal Abidin.

"Selain memberi rawatan kepada atlet, penubuhan Pusat Satelit ISN juga membuka peluang besar untuk kerjasama kedua-dua belah pihak dalam pembangunan serta perkembangan aplikasi sains, perubatan, inovasi dan teknologi sukan," katanya pada majlis perasmian Pusat Satelit ISN di UniSZA hari ini.

Perasmian dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli dan turut hadiri Pengerusi Lembaga ISN Datuk Marina Chin.

Fadzli berkata pusat berkenaan diharap dapat memperkasakan ekosistem sukan negara ke arah pencapaian atlet lebih cemerlang selaras dengan harapan kerajaan.

"Penubuhan pusat ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan rawatan kepada atlet, malah memudahkan kerjasama serta merancakkan perkongsian antara pihak terlibat," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan