AM

PRODUK TEMPATAN, GREENCONTROLS DAPAT PENGIKTIRAFAN GLOBAL

10/09/2024 09:06 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 10 Sept (Bernama) -- Produk keluaran syarikat tempatan GreenControls Technology mendapat pengiktirafan antarabangsa, apabila turut digunakan pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024) yang berlangsung hari ini hingga 15 Sept.

Ketua Pegawai Eksekutif GreenControls Technology Peng Wah Siew ketika ditemui Bernama berkata ini  kali pertama produk Malaysia diberi kepercayaan untuk digunakan dalam kategori kemahiran Pemasangan Elektrik pada pertandingan WorldSkills.

“Ini kali pertama produk GreenControls dari Malaysia menjadi penaja di WorldSkills International dan kita bangga kita dapat jadi penaja di Eropah,” katanya.

Peng menyifatkan ruang penajaan untuk produk Malaysia sebagai sesuatu yang besar buat syarikatnya dan Malaysia, kerana Eropah mempunyai banyak pengeluar produk elektrik ternama.

“Kita (sebelum ini) sudah berulang kali mencuba menyertai pertandingan WorldSkills terutama di Eropah,” katanya sambil menambah, produk syarikat itu pernah menaja pertandingan WorldSkills peringkat Asean dan tempatan. 

Antara produk dikeluarkan GreenControls ialah Greencontrols KNX Power Supply dan Greencontrols Regular Switching Actuator.

Pada WSC 2024, Malaysia diwakili oleh 15 belia berkemahiran daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi.

WSC 2024 mempertandingkan 62 bidang kemahiran, dan wakil Malaysia berentap dalam 14 bidang antaranya Intergrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian Teknologi Maklumat bagi Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital dan Malaysia menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya tiga pingat pada penyertaan edisi ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan