AM

RAFIZI TINJAU STATUS TERKINI PROJEK KERAJAAN PERSEKUTUAN DI PERLIS

11/09/2024 09:19 AM

KANGAR, 11 Sept (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengadakan lawatan kerja sehari di Perlis bagi meninjau status terkini beberapa projek Kerajaan Persekutuan di negeri itu, semalam.

Menurut kenyataan Istana Arau, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Rafizi petang semalam.

Rafizi mempersembahkan taklimat dan seterusnya bertukar pandangan dengan Raja Perlis mengenai inisiatif serta peruntukan Kerajaan Persekutuan terkini yang diharapkan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di negeri itu.

"Negeri Perlis menawarkan peluang pelaburan yang merangkumi pelbagai sektor antaranya pertanian, pembuatan, sektor tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar, logistik dan pelancongan membabitkan perkhidmatan serta sukan rekreasi," menurut kenyataan itu.

Turut berangkat pada sesi menghadap itu adalah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan