EKONOMI

ALLIANCE BANK LANCAR KAD KREDIT PERNIAGAAN VISA PLATINUM UNTUK PMKS

11/09/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd mengukuhkan perkongsiannya dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk melancarkan Kad Kredit Perniagaan Alliance Bank Visa Platinum yang disokong oleh perlindungan jaminan CGC.

Kad kredit itu menawarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) saluran tambahan untuk mendapatkan akses yang lebih mudah dan cepat kepada dana bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka dengan proses permohonan yang mudah, tanpa kerumitan dan hanya memerlukan dokumentasi yang minimum.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Kellee Kam Chee Khiong berkata membantu komuniti PMKS mendapatkan sokongan yang tepat untuk berjaya adalah keutamaan bagi bank tersebut.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh PMKS dalam mendapatkan pembiayaan, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai cagaran atau mempunyai rekod kredit yang terhad.

"Penyelesaian inovatif ini merapatkan jurang untuk PMKS dengan menawarkan laluan pembiayaan yang mudah diakses dan lebih cepat serta membantu perniagaan kecil meningkatkan pengurusan aliran tunai mereka," katanya berucap di majlis pelancaran kad kredit berkenaan di sini hari ini.

Kam menambah Kad Kredit Perniagaan Alliance Bank Visa Platinum membolehkan perniagaan meningkatkan aliran tunai mereka dengan tempoh pembayaran balik tanpa faedah sehingga 56 hari dan pilihan pembayaran fleksibel tanpa faedah sehingga enam bulan.

Kad kredit ini juga akan membantu PMKS membina sejarah kredit yang kukuh, membolehkan mereka mendapatkan sokongan pembiayaan yang lebih besar dan penyelesaian kewangan yang lebih baik pada masa depan dengan profil kredit perniagaan yang dipertingkatkan.

Selain itu, perniagaan boleh memilih ganjaran pulangan tunai sehingga satu peratus ke atas perbelanjaan perniagaan atau menikmati caj kewangan yang rendah iaitu hanya 8.88 peratus setahun.

Manfaat lain termasuk penjimatan dan diskaun, keistimewaan makanan, bermain golf, pengembaraan dan membeli-belah di kedai yang mengambil bahagian, faedah pengembaraan perniagaan yang dipertingkatkan seperti sehingga 12 pas akses lounge percuma setiap tahun dan menikmati keselesaan serta kemudahan kepada pemegang kad semasa perjalanan untuk urusan kerja.

Sementara itu, Presiden dan CEO CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata perkongsian strategik Alliance Bank-CGC telah menghasilkan Jaminan Portfolio (PG) berjumlah RM3.2 bilion, yang dikhususkan untuk menyokong PMKS yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan.

"Jaminan Portfolio (PG) yang paling terkini dilancarkan pada 27 Mei, berjumlah RM550 juta bagi menunjukkan komitmen bersama kami untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan PMKS di Malaysia.

“Selain itu, penyertaan CGC dalam Cabaran BizSmart Edisi Pemecut anjuran Alliance Bank menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada PMKS untuk meningkatkan kemahiran penting, mengembangkan pengetahuan kritikal dan mendapat pendedahan secara langsung kepada pemimpin-pemimpin industri,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan