AM

MOHAMED KHALED ADAKAN MESYUARAT DUA HALA DENGAN RAKAN SEJAWAT DARI UAE DI SEOUL

11/09/2024 08:02 PM

Daripada  Muhammad Afiq Mohd Asri 

SEOUL, 11 Sept (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohamed Mubarak Fadhle Al Mazrouei, di sini.

Mesyuarat dua hala itu diadakan di luar Sesi Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024.

Ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled ke Korea Selatan selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Dis tahun lalu.

Bercakap kepada media Malaysia selepas SDD, menteri itu berkata tujuan mesyuarat dua hala tersebut adalah untuk mengukuhkan hubungan pertahanan sedia ada antara Kuala Lumpur dan Abu Dhabi.

"Antara perkara yang saya bincangkan dengan Mohamed Mubarak Fadhle adalah cara untuk meningkatkan hubungan ketenteraan antara Malaysia dan UAE.

“Kami mengutamakan kerjasama ketenteraan dua hala yang telah terjalin sebelum ini," kata Mohamed Khaled, yang tiba di di sini tiga hari lalu untuk lawatan kerja selama lima hari ke negara Asia Timur itu.

SDD telah berkembang menjadi platform antarabangsa untuk integrasi dan perpaduan, meneroka pelbagai isu global secara mendalam.

Ia melibatkan penyertaan 900  perwakilan daripada 64 negara termasuk wakil peringkat menteri daripada lapan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan