AM

DIPLOMASI, PENSIJILAN HALAL PIAWAIAN TINGGI KUKUH KEDUDUKAN MALAYSIA DI DUNIA

13/09/2024 09:42 AM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

SHANGHAI, 13 Sept (Bernama) -- Persekitaran industri halal Malaysia yang didukung sistem pensijilan halal berpiawaian tinggi telah mewujudkan rantaian diplomasi halal sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama industri itu pada peringkat antarabangsa.

Konsep diplomasi halal Malaysia terus mendapat perhatian serta minat pelabur antarabangsa dan meletakkan negara sebagai penanda aras untuk kualiti, keselamatan dan integriti dalam industri halal pada peringkat dunia.

Forum Perniagaan Halal Malaysia–China yang berlangsung pada 10 Sept di bandar ini telah membuka potensi pelaburan baharu dalam industri halal negara dengan nilai kira-kira RM4 bilion daripada pemain industri halal China.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadiri forum berkenaan bersempena dengan lawatan kerja lima hari ke China berkata potensi pelaburan besar itu merangkumi pelbagai sektor termasuk perubatan herba, makanan dan minuman, vaksin perubatan, kosmetik dan farmaseutikal. 

Beliau berkata antara faktor terbesar yang menarik minat pelabur dan pemain industri halal antarabangsa ke Malaysia ialah sistem piawaian pensijilan halal negara yang berkredibiliti tinggi serta diiktiraf dunia.

“Ini dibuktikan lagi dengan Malaysia memegang kedudukan teratas dalam Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) bagi 10 tahun berturut-turut, mencerminkan kepimpinan berterusan dalam sektor ekonomi penting itu,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata hubungan Malaysia–China dalam sektor halal amat kukuh dengan menyaksikan republik itu menjadi destinasi utama bagi pengeksportan halal negara.

Setakat Julai tahun ini, nilai eksport halal Malaysia ke China mencecah RM6.25 bilion yang meliputi pelbagai produk termasuk makanan, minuman, bahan kimia industri dan kosmetik.

Selain itu, pada forum berkenaan Ahmad Zahid turut mencadangkan penubuhan Koridor Perdagangan Halal Malaysia–China bagi meningkatkan perdagangan halal dalam rangka One Belt One Road.

“Ia akan membolehkan kita memenuhi keperluan halal negara BRICS, ASEAN dan negara-negara Selatan Global dengan lebih baik, sambil melancarkan perdagangan antara China dan Malaysia untuk rantaian bekalan yang lebih cekap,” katanya.

Pada forum itu juga, Malaysia memperkukuh usaha untuk muncul sebagai hab halal serantau serta global dengan menawarkan kemampuan infrastruktur dan kemudahan yang holistik bagi sektor halal di beberapa negeri antaranya Pahang dan Perak.

Ahmad Zahid antara lain turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), syarikat farmaseutikal China ChemPartner Pharmatech Co., Ltd dan syarikat Malaysia Pharma Medical Sdn. Bhd, dalam usaha mewujudkan sebuah hab farmaseutikal yang mengeluarkan ubat-ubatan dengan pensijilan halal.

Pada 8 Sept, Timbalan Perdana Menteri tiba di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu bagi lawatan kerja lima hari ke republik itu yang berakhir semalam.

Bersempena dengan lawatan kerja itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 selain mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong. 

Beliau berkata komitmen China–Malaysia untuk kerjasama serta kolaborasi dua hala dalam usaha pembanterasan jenayah rentas sempadan adalah pada tahap tertinggi, menyaksikan kedua-dua negara bersetuju meneruskan kerjasama dalam beberapa aspek lain termasuk peningkatan latihan bersama dan pertukaran pegawai tinggi dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.

“Kerjasama Malaysia dan China dalam membanteras jenayah rentas sempadan melibatkan judi dalam talian menunjukkan hasil yang positif dalam tempoh beberapa tahun sekali gus membuktikan keberhasilan kerjasama antara dua negara,” katanya.

Selain itu, Malaysia juga terus mengukuhkan usaha dalam penerokaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) melalui kerjasama dengan China termasuk pertukaran dan perkongsian kepakaran serta teknologi dalam bidang berkenaan.

Pemeteraian kerjasama antara MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd, syarikat ketiga terbesar dalam teknologi UAV di China, akan membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi terbabit.

Ahmad Zahid berkata teknologi berkenaan banyak digunakan dalam bidang pertanian dan kawasan sempadan, justeru langkah kerjasama itu membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi UAV bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan akan memindahkan teknologi UAV kepada University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang, dengan melatih pembuatan UAV selain akan memulakan pemasangan pertama UAV pada bulan depan.

Syarikat terkemuka China itu juga akan melabur RM100 juta untuk membuka premis kekal bagi melatih pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada 2025.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan