EKONOMI

UNIT PANSAR RAIH KONTRAK BERKAITAN PROJEK SARAWAK-SABAH LINK ROAD BERNILAI RM777.11 JUTA

13/09/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perbena Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pansar Bhd memperoleh projek berkaitan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 iaitu Pakej 4A (RH Aling ke Bukit Pagon) bernilai RM777.11 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Perbena menerima surat setuju terima hari ini daripada Maltimur Aktif Unggul JV Sdn Bhd untuk projek tersebut.

"Skop kerja-kerja melibatkan pembinaan jalan standard JKR R3 sepanjang  54 kilometer dari RH Aling ke Bukit Pagon, termasuk tiga buah jambatan.

"Ia turut melibatkan pembersihan tapak, kerja-kerja tanah, saliran, geoteknikal, jalan raya, pengurusan trafik, alam sekitar dan kerja-kerja elektrik," katanya.

Tempoh kontrak selama 48 bulan dan projek berkenaan dijadualkan bermula hari ini.

Apabila siap kelak, SSLR akan meningkatkan ketersambungan jalan raya dengan lebih baik, menghubungkan masyarakat di Sarawak dan Sabah tanpa perlu merentas sempadan antarabangsa.

"Projek ini akan memudahkan pergerakan orang ramai, meningkatkan aktiviti ekonomi dan merangsang ekonomi tempatan," katanya sambil menambah kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan