AM

'BIARLAH DIA SEORANG SAHAJA YANG KUAT' - ANWAR ENGGAN LAYAN KENYATAAN ABDUL HADI

13/09/2024 07:26 PM

KAJANG, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini enggan melayan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan Perpaduan sebagai lemah.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman di sini hari ini, Anwar dalam jawapan ringkas secara sinis berkata, “Biarlah dia (Abdul Hadi) seorang sahaja yang kuat”.

Anwar berkata demikian ketika ditanya reaksi beliau terhadap kenyataan Ahli Parlimen Marang itu pada Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh yang turut mendakwa pemimpin bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'naik kepala.’

Semalam, Abdul Hadi dikatakan turut mendakwa pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan Perpaduan tidak mampu mengawal rakan pimpinan bukan Islam.

Presiden PAS itu mendakwa kebanyakan parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah berpandukan kepada Melayu dan Islam namun masih gagal untuk mempertahan perkara yang melibatkan kesucian agama Islam daripada dicampuri oleh masyarakat bukan Islam termasuk isu pensijilan halal.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan