DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA STABIL MINGGU DEPAN SUSULAN PENGUKUHAN EKUITI GLOBAL

14/09/2024 10:12 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka stabil dalam jajaran 1,630-1,670 minggu depan, menawarkan peluang pengumpulan saham dan potensi peningkatan seterusnya susulan sentimen yang bertambah baik. 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks itu perlu melepasi paras rintangan 1,670 untuk mendapatkan semula momentum meningkatnya. 

Beliau berkata sekiranya paras ini berjaya dilepasi dengan jumlah dagangan yang besar, paras rintangan seterusnya dijangkakan pada 1,700.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi kukuh ekuiti global dijangka menyaksikan Bursa Malaysia diniagakan tinggi minggu depan meskipun dalam minggu dagangan yang singkat.

“Indeks S&P 500 yang mencatatkan pemulihan memberangsangkan kini berada pada 5,596, ditutup pada paras tertinggi pada 5,670. Selepas turun hampir 10 peratus antara 16 Julai dan 5 Ogos berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan. S&P 500 telah pulih kembali,” katanya.

Mohd Sedek berkata UOB Kay Hian mengekalkan tinjauan positif terhadap sektor pembinaan dan bahan binaan dengan projek pusat data dijangka mula memberi sumbangan kepada syarikat pembinaan. 

“Selain itu, pengukuhan ringgit yang berpotensi mengehadkan kenaikan bagi sektor dipacu eksport seperti teknologi, mungkin memberi manfaat kepada sektor domestik seperti pengguna, kewangan dan utiliti terpilih,” katanya. 

Bagi minggu yang baru berakhir ini, bursa tempatan mencatatkan dagangan tidak menentu berikutan kekurangan pemangkin dan kebimbangan terhadap perkembangan di Amerika Syarikat (AS) dan ketidakpastian tentang kadar penurunan kadar faedah AS.  

Di dalam negara, antara berita yang menjadi tumpuan utama minggu ini adalah YTL Power International yang muncul sebagai saham paling rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi pada Isnin (9 Sept) berikutan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek 1BestariNet, manakala harga saham Gamuda Bhd turun susulan berita tebing sungai runtuh di projek Bekalan Air Sungai Rasau di Selangor. 

Sementara itu, pasaran mengalu-alukan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd sebagai syarikat senaraian awam baharu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 0.97 mata kepada 1,652.15 daripada paras 1,653.12 pada minggu sebelumnya. 

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas naik 26.25 mata kepada 12,302.31, Indeks FBMT 100 susut 60.95 mata kepada 12,016.30 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 130.60 mata kepada 12,115.81.

Indeks FBM 70 meningkat 187.43 mata kepada 17,281.88 dan Indeks FBM ACE turun 0.21 mata kepada 5,084.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 51.37 mata kepada 19,551.10, Indeks Perladangan susut 62.67 mata kepada 7,180.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.15 mata kepada 175.15. Indeks Tenaga jatuh 12.38 mata kepada 862.81.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan meningkat kepada 38.74 bilion unit bernilai RM16.65 bilion daripada 14.90 bilion unit bernilai RM15.33 bilion pada minggu sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 8.78 bilion saham bernilai RM15.57 bilion daripada 8.66 bilion saham bernilai RM14.01 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 4.10 bilion unit bernilai RM1.20 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM413.23 juta.

Bagaimanapun jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.88 bilion saham bernilai RM606.15 juta daripada 2.65 bilion saham bernilai RM906.43 juta.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan