AM

OPSYEN KEPADA PEGAWAI AWAM HANYA KEPADA LANTIKAN TETAP BERKHIDMAT PADA 1 DIS 2024 - JPA

14/09/2024 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Tawaran opsyen kepada pegawai awam untuk memilih sama ada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) hanya diberikan kepada pegawai lantikan tetap yang sedang berkhidmat pada 1 Dis 2024.

Bagi pegawai yang bersara, meletak jawatan, ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja berkuat kuasa sebelum atau pada 1 Dis 2024, opsyen tidak ditawarkan kerana pegawai tidak lagi berada dalam perkhidmatan pada tarikh itu, demikian menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Pegawai tetap adalah yang dilantik ke jawatan tetap termasuk pegawai dalam tempoh percubaan atau pegawai yang sedang dalam pertukaran sementara atau peminjaman. Opsyen hendaklah ditawarkan pada gred hakiki pegawai.

“Opsyen hendaklah dibuat dalam tempoh 40 hari mulai 21 Oktober 2024 hingga 30 November 2024,” katanya.

Pekeliling itu menyatakan pegawai yang menolak tawaran SSPA akan terus kekal di bawah skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada di bawah SSM secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kecuali setelah dinaikkan pangkat dalam skim perkhidmatannya, penyelarasan kepada gred SSPA yang setara hendaklah dibuat dan pegawai adalah tertakluk kepada skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan di bawah SSPA.

Terdapat lima kategori opsyen yang dinyatakan iaitu Opsyen Bagi Skim Perkhidmatan Yang Dikekalkan; dan Opsyen Bagi Skim Perkhidmatan Yang Dinaik Taraf Dengan Kelayakan Masuk Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan Skim Perkhidmatan Yang Digabung Ke Skim Perkhidmatan Baharu, Skim Perkhidmatan Yang Dinaik Taraf Ke Skim Perkhidmatan Berkelayakan SPM dan Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Ke Skim Perkhidmatan Yang Berkuat Kuasa.

Opsyen lain merangkumi Opsyen Bagi Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Ke Skim Perkhidmatan Yang Berkuat Kuasa; Opsyen Bagi Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Di Bawah SSM dan Opsyen Bagi Pegawai Yang Kekal Dalam Skim Perkhidmatan Di Bawah Jawatankuasa Kabinet 1976 dan Sistem Saraan Baru (SSB) Serta Jawatan Dihapuskan.

Selain itu, opsyen hendaklah dibuat tanpa syarat dan mengikut ketetapan sebagaimana yang dinyatakan dalam borang opsyen.

Pegawai disifatkan sebagai tidak bersetuju menerima opsyen SSPA sekiranya tidak membuat pilihan, membuat pilihan secara tidak jelas, membuat pilihan dengan bersyarat, membuat pilihan dengan bantahan, membuat pilihan dengan pindaan atau tidak mengembalikan borang opsyen kepada Ketua Jabatan tanpa sebarang sebab yang munasabah sebelum atau pada 30 November 2024.

“Opsyen yang dibuat oleh pegawai adalah muktamad dan maklumat pemilihan opsyen pegawai hendaklah direkodkan dalam Buku Perkhidmatan Kerajaan,” katanya.

Pegawai yang tidak bersetuju menerima opsyen SSPA atau pegawai yang bersetuju menerima opsyen SSPA tetapi belum memenuhi syarat skim perkhidmatan yang berkuat kuasa di bawah SSPA adalah kekal dalam skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan di bawah SSM secara KUP.

Selain itu, pegawai tertakluk kepada perkara di bawah SSPA iaitu penjumudan skim perkhidmatan, penetapan Ketua Perkhidmatan, pegun kadar elaun, kemudahan baharu dan yang ditambah baik, penilaian prestasi, kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT), pengiktirafan, latihan dan Dasar Pemisah.

Pegawai awam boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web JPA di https://www.jpa.gov.my/

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan