AM

ISTIADAT MENGARAK PANJI PAMER DEDIKASI, KESETIAAN ATM

14/09/2024 11:35 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Istiadat megah mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung hari ini di Dataran Pahlawan, telah mempamerkan dedikasi dan kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah pimpinan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Ketua Perbarisan istiadat itu Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad berkata seramai 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat ATM, menyertai istiadat tersebut terdiri daripada gabungan ketiga-tiga cabang ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Pada istiadat ini, kami telah serlahkan semangat dan kesetiaan kami kepada Raja dan negara dalam mempertahankan kedaulatan, sehingga ke titisan darah terakhir.

“Perarakan Panji-Panji ini merupakan acara tradisi yang akan dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, ia akan dilakukan pada tahun pertama, ketiga dan kelima,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Perarakan Panji-Panji merupakan satu daripada acara yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tahun ini, sebagai satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi  ATM terhadap Raja dan negara.

Muhammad Firdaus berkata istiadat perarakan Panji-Panji itu telah disempurnakan dengan tembakan kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) serta formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter yang membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Pihak ATM telah melakukan persembahan terbaik demi menyerlahkan semangat taat setia kami dalam mempertahankan tanah air tercinta.

“Panji-Panji yang diarak pada istiadat itu merupakan anugerah Yang di-Pertuan Agong yang disanjung tinggi oleh setiap anggota Rejimen Askar Melayu Diraja. Ini menjadi simbol taat setia dan sentiasa menjadi dorongan dalam perjuangan mereka mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara,” kata Muhammad Firdaus yang merupakan Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sementara itu, Leftenan Ahmad Fakhruzzakirin Abdul Rahman, 25, berkata walaupun gementar kerana diberi kepercayaan buat pertama kali membawa Panji Rejimen Askar Melayu Diraja dalam istiadat penting ini, namun anak kelahiran Besut, Terengganu ini percaya beliau telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam pasukan ketika istiadat berlangsung.

“Latihan selama kira-kira dua minggu membuatkan saya lebih bersedia untuk membawa Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di hadapan tetamu kehormat, termasuk Sultan Ibrahim. Saya gunakan juga pengalaman semasa bawa Panji ini ketika Hari Kebangsaan baru-baru ini,” kata graduan lulusan Universiti Pertahanan Awam Nasional (UPNM) yang baru dua tahun berkhidmat dalam ATM.

Senada dengan Ahmad Fakhruzzakirin, Leftenan Muhammad Safwan Abdullah, 24, berkata pengalaman kali pertama tidak menghalang  beliau untuk menonjolkan semangat juang dan cinta kepada negara yang sememangnya wujud dalam dirinya.

“Walaupun agak gementar tetapi saya bangga kerana terpilih untuk membawa Panji Rejimen Renjer Diraja. Walaupun Panji ini agak berat tetapi apa yang lebih berat adalah tanggungjawab kami untuk membawa Panji-Panji ini,” kata graduan UPNM yang baru setahun menyertai ATM itu.

Antara pimpinan yang menghadiri istiadat perarakan Panji-Panji itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman.

Istiadat bersejarah itu turut disaksikan oleh duta luar negara untuk memperlihatkan ATM sebagai pasukan yang boleh dipercayai, taat dan sedia berjuang untuk raja dan tanah air.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan