POLITIK

PH JAMIN BANTU BN KEKALKAN KEMENANGAN PRK MAHKOTA - SAIFUDDIN NASUTION

14/09/2024 01:15 PM

KLUANG, 14 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan untuk membantu dengan sepenuh hati calon Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan calon bagi Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota. 

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semangat itu juga untuk memastikan momentum kemenangan pada siri PRK lepas khususnya di DUN Nenggiri, Kelantan dapat dikekalkan. 

"Penting untuk mengekalkan momentum kemenangan. Jadi menang Nenggiri, menang Mahkota itu akan memberi satu  momentum sangat baik dalam Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata kehadiran PH pada PRK Mahkota juga membawa mesej jelas bahawa Johor antara negeri yang banyak menerima manfaat daripada Kerajaan Perpaduan, dan perlu terus dikekalkan dengan kemenangan calon BN pada PRK DUN Mahkota. 

Sebagai contoh, Saifuddin Nasution merujuk kepada kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura, serta inisiatif penambahbaikan yang dibuat bagik kemudahan rakyat Johor berulang-alik ke Singapura untuk bekerja.  

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan semua pihak untuk tidak menyentuh atau membangkitkan isu 3R (kaum, agama, raja) sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini hingga 11.59 malam 27 Sept ini, bagi mengekalkan keharmonian antara penduduk. 

"Saya yakin rakyat Johor khususnya di (DUN) Mahkota  akan membuat penilainan sejernih-jernihnya kerana isu 3R tidak membawa kepada kebaikan," katanya. 

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan pengundian awal akan berlangsung pada 24 Sept. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru dengan calon PH, PN dan Warisan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan