JENAYAH & MAHKAMAH

SAMUN DAN ROGOL WARGA EMAS, LELAKI WARGA ASING DIREMAN SEMINGGU

14/09/2024 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Lelaki warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes samun dan rogol seorang warga emas di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sepang bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama.

“Mangsa kini berada di rumah selepas selesai melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital. Polis masih meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 malam Khamis lepas, mangsa berusia 71 tahun sedang menunggu lif di kondominium yang didudukinya sebelum suspek datang dari belakang dan menariknya ke tangga lalu merogolnya di situ.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki warga asing ditahan bersama dompet dan telefon bimbit milik mangsa, selepas mangsa membuat laporan mendakwa disamun dan dirogol oleh suspek yang berusia lingkungan 25 tahun dan bekerja di sebuah restoran.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan