POLITIK

PRK MAHKOTA: KEMPEN 'CARA JOHOR' UTAMAKAN KEHARMONIAN - MB

14/09/2024 06:06 PM

KLUANG, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan semua pihak terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk berkempen 'Cara Johor' yang mengutamakan serta menitikberatkan aspek keharmonian.

Selain itu, beliau berkata perkara berkaitan 3R (kaum, agama dan raja) seharusnya tidak disentuh langsung oleh mana-mana pihak terutama dalam tempoh berkempen kerana keamaan dan keharmonian perlu dipelihara setiap masa. 

"Dalam keghairahan emosi semasa berkempen, saya risau dan khuatir (jika) impaknya berterusan selepas itu (tamat PRK). Kita hendak kekalkan keamanan dan keharmonian," katanya selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ni. 

Onn Hafiz juga memetik kata-kata Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn bahawa aspek perpaduan tidak boleh diambil mudah kerana 'memerlukan decades untuk dicapai, tetapi boleh dimusnahkan dalam tempoh masa singkat'.  

Pada perkembangan berkaitan, Onn Hafiz yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) pada PRK itu berkata kempen mereka akan menonjolkan inisiatif, tindakan dan perkara yang telah dilaksana serta dirancang kerajaan negeri untuk manfaat rakyat Johor.

"Mesej saya kepada jentera, kita sepatutnya bercakap mengenai perkara yang penting untuk Johor, Mahkota dan Kluang. Apa pembangunan yang sudah kita bawa (dan) apa yang hendak kita buat.

"Saya tidak cakap kerajaan negeri sempurna tetapi kita mencuba yang terbaik untuk memastikan kita mencapai keputusan terbaik untuk Johor," katanya. 

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian manakala 24 Sept untuk undi awal.  

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.   

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengingatkan jentera parti untuk berkempen secara sihat dan menjaga tatasusila sepanjang berkempen selain tidak boleh terlalu yakin akan memperoleh kemenangan mudah.

“Kita jangan kacau sesiapa dan jangan memburuk-burukkan sesiapa. Kita berkempen untuk memastikan DUN Mahkota kekal di bawah BN. Jentera kena kerja kuat, jangan rasa selesa walaupun pada pilihan raya dulu kita menang di sini dengan majoriti lebih 5,000 undi. 

“Kena ingat setiap pilihan raya berlainan,” katanya yang ditemui semasa menyantuni pengundi bersama Syed Hussien di Kampung Melayu 1 di sini.   

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan