AM

RMK13: RANCANGAN FINAS UNTUK PENGGIAT INDUSTRI KREATIF SABAH, SARAWAK DIHARAP JADI REALITI

14/09/2024 06:17 PM

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berharap rancangan khusus memberi fokus kepada penggiat kandungan kreatif di Sabah dan Sarawak seperti dicadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi realiti.

Beliau berkata industri filem serta muzik di Sabah mahupun Sarawak sangat rencam yang memerlukan pihak berkaitan memberi pengkhususan termasuk dalam aspek pengurusan.

"Saya juga harap hasil karya mereka (penggiat kandungan kreatif dari Sabah dan Sarawak) dapat dinikmati bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga seantero dunia. Kita (mempunyai) banyak kandungan bagus datang dari Sabah dan Sarawak. Kita harus menikmati semua kandungan ini.

"Malaysia akan jadi tuan rumah bagi ASEAN tahun depan, saya lihat ada peluang untuk kita menonjolkan lebih banyak kandungan kreatif termasuk dari Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi sembang santai bersama penggiat industri kreatif dari Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah di sini hari ini.

Kira-kira 200 penggiat seni dan hiburan dari Sabah dan Sarawak menghadiri sesi sembang santai yang berlangsung lebih satu jam, dengan pelbagai perkongsian dan pandangan disuarakan termasuk isu serta cabaran dalam usaha membawa industri filem dan muzik di dua negeri berkenaan berkembang dengan lebih pesat.

Fahmi berkata pihaknya juga akan meminta FINAS mengkaji dasar dan pelaksanaan bagi tiga perkara asas merangkumi aspek kewangan, praproduksi termasuk dalam menghasilkan skrip bermutu tinggi serta pemasaran kandungan kreatif dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata aspek pemasaran amat penting bagi memastikan setiap kandungan kreatif yang dihasilkan dapat dipasarkan.

"Kalau kita tidak memasarkannya dengan berkesan, maka saya rasa satu peluang telah dibazirkan. Jadi, secara umum tiga perkara ini saya akan minta FINAS kaji bukan hanya dari segi dasar tetapi juga pelaksanaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan