EKONOMI

MAHA 2024 : NEKMAT SASAR EKSPORT PRODUK JENAMA ENNA MENERUSI KERJASAMA ANTARABANGSA

16/09/2024 01:01 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

SERDANG, 16 Sept (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyasarkan untuk mengeksport produk jenama ENNA keluarannya ke luar negara menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat di Brunei, Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU).

Antara produk ENNA yang dipasarkan secara meluas di dalam negara adalah nuget ayam, nuget ikan, jejari ikan serta keropok ikan.

Pengurus Besar NEKMAT Azrin Shah Ismail berkata persatuan itu berhasrat memanfaatkan penyertaannya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 untuk meluaskan pasaran produk ke seluruh negara serta ke peringkat antarabangsa.

Pada masa ini, produk ENNA hanya dipasarkan dalam negara, khususnya di Semenanjung Malaysia melalui agen-agen jualan dilantik, pasar mini, pasar raya serta platform dalam talian seperti NEKMATBIZ.

“Sejak 11 Sept, 2024, kami telah mendapat permintaan daripada 13 syarikat dalam dan luar negara yang ada jalinan padanan perniagaan dengan NEKMAT.

“Ada yang ingin melihat produk ini serta merancang untuk membawa produk ini ke pasaran negara mereka,” katanya kepada Bernama pada acara MAHA yang masuk hari keempat penganjurannya di sini.

Menyentuh MAHA 2024 yang diadakan pada 11-22 Sept, 2024, Azrin berkata NEKMAT menyasarkan jualan sekurang-kurangnya RM100,000 pada acara itu dengan 85 peratus permintaan daripada pasaran tempatan.

Produk ENNA misalnya sebelum ini hanya menyumbang satu peratus kepada pendapatan NEKMAT, namun beliau optimis angka itu dapat ditingkatkan kepada 10 peratus pada tahun depan.

Pada tahun lepas, NEKMAT mencatat pendapatan sebanyak RM800 juta dengan hasil daripada produk ENNA berjumlah RM6 juta.

Selain itu, persatuan berkenaan turut menjalankan pelbagai aktiviti seperti membekal minyak diesel bersubsidi kepada nelayan, pemasaran ikan, pembekalan bahan input sektor perikanan serta pengeluaran dan pemasaran air batu dan produk hasil perikanan.

NEKMAT juga kini giat melaksanakan projek baharu pembinaan kolam udang yang peringkat awalnya melibatkan empat kolam di Pekan, Pahang dengan kapasiti penghasilan lapan hingga 10 tan udang bagi setiap kitaran.

“Projek ini dijangka siap pada November dan mula beroperasi pada Februari tahun depan,” katanya.

Azrin berkata keuntungan daripada keseluruhan aktiviti ekonomi NEKMAT ini dijangka menyumbang kepada pembayaran dividen sekitar tujuh peratus kepada 13 Persatuan Nelayan Negeri yang juga persatuan.

NEKMAT juga berhasrat menarik minat generasi muda menceburi industri perikanan dengan memperkenalkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan pemantauan melalui aplikasi.

“Ini sekali gus diharap dapat mengubah stigma masyarakat bahawa industri perikanan tidak mempunyai masa depan yang cerah.

“Industri ini penting dalam meningkatkan dasar keterjaminan makanan negara selain mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta tenaga kerja asing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan