AM

34 CEDERA BAS PERSIARAN DUA TINGKAT TERBABAS

16/09/2024 11:19 AM

IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Sebanyak 34 penumpang termasuk pemandu cedera apabila bas persiaran dua tingkat dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 273.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.10 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dengan bantuan Simpang Pulai, Meru Raya dan Tambun dikerah ke lokasi kejadian.

"Tiga mangsa di tingkat bawah cedera parah kerana tersepit antara kerusi penumpang manakala 30 lagi yang berada di tingkat atas bas hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar dengan sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menarik pelaras kerusi sebelum membawa keluar mangsa dengan menggunakan pengusung.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut, manakala 31 yang lain diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 2.45 pagi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan