AM

PERUBAHAN CORAK, MAGNITUD MUSIM TENGKUJUH TINGKAT CABARAN PENGURUSAN BANJIR

16/09/2024 02:16 PM

JOHOR BAHRU, 16 Sept (Bernama) -- Perubahan iklim dunia telah merubah corak dan magnitud musim tengkujuh sekali gus meningkatkan cabaran dalam pengurusan banjir, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Dengan kesan perubahan iklim...ia (musim tengkujuh) berubah dari segi jadual kejadian malah dari segi magnitud ataupun betapa ekstrem seperti hujan lebat yang di luar jangkaan,” katanya kepada media selepasmenghadiri program Charity Walk: Menyambut Hari Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memberi tumpuan kepada perlaksanaan projek infrastruktur seperti projek tebatan banjir dan langkah mitigasi seperti pengagihan pam untuk mengeluarkan air dari kawasan banjir dengan segera.

“Bagi PETRA tumpuan adalah lembangan sungai yang besar, (manakala saliran) dalam bandar lebih tertumpu kepada kerajaan tempatan dan mungkin agensi di bawah Jabatan Kerja Raya serta kementerian yang lain, jadi koordinasi itu perlu diselaraskan,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata beberapa projek infrastruktur berkaitan pengurusan banjir juga dijangka siap dan akan diserahkan kepada kerajaan Johor tahun ini.

Kira-kira 1,000 orang termasuk orang kurang upaya menyertai program jalan amal sempena Hari Malaysia itu yang dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan