AM

PERHIMPUNAN DI SRI AMAN ACARA KEMUNCAK SAMBUTAN HARI MALAYSIA SARAWAK 

16/09/2024 03:16 PM

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Majlis Perhimpunan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, kira-kira 192 kilometer dari bandar raya Kuching hari ini menjadi acara kemuncak sambutan hari bersejarah berkenaan bagi peringkat Sarawak.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diiringi isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan perasmian majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Pertunjukkan kebudayaan masyarakat tempatan, deklamasi puisi dan persembahan hiburan menjadi antara pengisian aktiviti pada majlis perhimpunan yang dihadiri kira-kira 3,000 hadirin.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang diterajui Jabatan Penerangan yang bermula 3 Ogos lepas juga mengakhiri perjalanan mereka di perhimpunan itu setelah melalui 22 lokasi dari daerah Lawas di utara Sarawak sehingga ke Lundu di selatan negeri itu.

Sri Aman menjadi pusat sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak dan acara sambutan telah bermula sejak Sabtu lepas dengan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Sri Aman dan Konsert Cinta Malaysia Segulai Sejalai pada sebelah malamnya di Tebingan Sri Aman.

Pada malam tadi, satu majlis kesyukuran diadakan di Masjid Bandar Sri Aman yang dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan