AM

KKR HARAP PELEBARAN LALUAN SIMPANG RENGGAM KE YONG PENG UTARA DIMASUKKAN DALAM BELANJAWAN 2025

17/09/2024 02:38 PM

JOHOR BAHRU, 17 Sept (Bernama ) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap cadangan fasa ketiga projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membabitkan Simpang Renggam ke Yong Peng Utara akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 yang dijangka berlangsung Oktober ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau berharap hasrat kerajaan negeri dan rakyat negeri ini agar permohonan pelebaran jalan yang dianggarkan sejauh 41 kilometer (km) itu dipertimbangkan.

“Fasa pertama dari Senai Utara ke Sedenak melibatkan jarak 21 kilometer telah dimulakan, manakala fasa kedua dari Sedenak hingga ke Simpang Renggam telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kita harap projek pelebaran lebuh raya itu akan dibuat sehingga ke Yong Peng Utara, jika boleh lebih jauh lagi kita mahu. Kita akan bawa cadangan ini kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Highway Concession Conference (HCC) 2024 di Hotel Renaissance di sini hari ini.

Beliau berkata kos bagi fasa ketiga itu dianggarkan sekitar RM1 bilion berdasarkan kos fasa pertama yang menelan belanja RM525 juta.

“Tapi itu terpulang kepada Kementerian Kewangan. Harapan kita untuk fasa ketiga ini boleh diumum dalam bajet 2025 Oktober ini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Seri Hasni Mohammad.

Pada 12 Oktober tahun lepas, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan berkata projek pelebaran Lebuhraya PLUS membabitkan kawasan Johor itu akan dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM931 juta.

Pada 18 Februari lepas, Hasni dilaporkan berkata projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam lorong membabitkan Senai Utara ke Sedenak akan dimulakan Jun ini dan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pontian itu berkata pihak kerajaan sedang mengkaji langkah berkesan yang boleh dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya negara ini khususnya ketika tempoh cuti perayaan dan cuti umum.

Peningkatan kenderaan atau trafik tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya usaha mencari penyelesaian kepada masalah kesesakan perlu difikirkan menggunakan teknologi terkini, kata beliau.

“Saya harap PLUS dan syarikat konsesi lain dapat menggunakan teknologi moden yang ada sebagai contoh teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi kesesakan terutamanya waktu cuti lebih daripada dua hari yang sememangnya akan menyebabkan sesak berpanjangan. Kita mesti mencari formula untuk penyelesaian ini,” katanya.

Langkah sedia ada telah dilaksanakan seperti pembukaan ‘lorong pintar’ di 18 lokasi dan laluan kontra dilihat masih perlu diperluaskan, tambah beliau.

“Langkah dibuat sekarang seperti lorong pintar diharap dapat dipanjangkan jarak dan tempoh masanya kerana sekarang ini ada lorong pintar yang dibuka tidak panjang, jadi ia tidak dapat selesaikan masalah kesesakan, ia perlu diperbanyak dan diperluaskan penggunaannya. 

“Pelaksanaan memperkenalkan Cadangan Waktu Perjalanan (My-TTA) oleh PLUS juga boleh diwar-warkan supaya pengguna boleh merancang perjalanan dengan mengambil tahu masa sesuai untuk menggunakan lebuh raya terutamanya ketika kesesakan berlaku dan turut perlu diperluaskan adalah ‘keluar wajib’ ketika berlaku kesesakan teruk atau kemalangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan