AM

DEMAM PRK BAWA LIMPAHAN REZEKI KEPADA PENGUSAHA KEDAI MAKAN

17/09/2024 05:15 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 17 Sept (Bernama) -- Demam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merancakkan lagi kegiatan perniagaan terutamanya kepada pengusaha kedai makan yang mula tersenyum apabila jualan harian semakin bertambah.

Situasi berkenaan diakui oleh pemilik Restoran Bawah Kolong Sulastri Kasiman, 40, yang menyatakan kehadiran pengunjung luar membantu kempen antara perkara membawa limpahan rezeki kepadanya.

Sulastri berkata restorannya menyajikan makanan dan lauk pauk Melayu serta Jawa menjadi tumpuan seawal pukul 10 pagi lagi sehinggakan 40 menu masakan yang disediakan licin, malah turut merancang menambah kepada 80 menu.

“Kita turut merancang untuk menambah pekerja setelah menjangkakan pengunjung yang hadir akan lebih ramai terutamanya pada minggu terakhir sebelum hari pengundian pada 28 Sept depan.

“Kebanjiran pengunjung ke sini dapat dilihat tiga hari sebelum penamaan calon (11 Sept), malah ketika itu saya turut dibantu oleh ibu Kamariah Kanan, 75, dan adik untuk menyediakan lauk-pauk tambahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Restoran Bawah Kolong ini merupakan salah satu kedai makan cukup popular dan turut viral di media sosial serta menjadi lokasi ‘wajib singgah’ kerana keunikannya apabila ruang makan berada di bahagian bawah rumah Melayu tradisional yang terletak di Kampung Melayu, disini.

Malah kedai makan berkenaan turut termuat dalam senarai Tourism Johor sebagai antara lokasi menarik perlu dikunjungi apabila datang ke daerah Kluang.

Sambutan luar biasa berkenaan turut membuatkan lauk-pauk disediakan ‘licin’ seawal pukul 3 petang berbanding kebiasaannya juadah yang ada akan habis sekitar 5 petang, kata Sulastri.

Beliau berkata menu yang sering menjadi pilihan pengunjung merupakan sotong bakar, ayam bakar, ikan patin, daging salai masak lemak cili padi, asam pedas, sambal belacan dan beberapa masakan Melayu lain.

“Alhamdulillah…kami sangat gembira dengan sambutan ini, dapat dilihat selain tempat menjamu selera, kedai makan ini juga dilihat sebagai salah satu ‘platform’ kepada perpaduan di kalangan mereka yang hadir ke kawasan DUN Mahkota ini yang terdiri daripada jentera parti yang datang dari seluruh negara, ada orang Melayu, Cina dan India…malah dari Sabah serta Sarawak juga berkunjung ke sini.

“Walaupun sambutan begitu menggalakkan, kami tetap mengekalkan harga yang sama dan tidak berniat sama sekali untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan, malah berbangga kerana ‘air tangan’ masakan keluarga dan rumah tradisional turun temurun keluarga kami menjadi tarikan dan tumpuan ketika PRK kali ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan