AM

POKOK KEKABU TUMBANG HEMPAP RUMAH, LELAKI CEDERA PARAH

17/09/2024 05:21 PM

SUNGAI PETANI, 17 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 34 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas sebatang pokok kekabu tumbang lalu menghempap rumahnya dalam kejadian di Kampung Nyior, Bukit Selambau dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian pokok tumbang yang menghempap sebuah rumah kelas B (separuh batu, separuh papan) pada pukul 1.18 pagi tadi.

"Jentera tiba di lokasi pada pukul 1.44 pagi...apabila tiba di lokasi, didapati terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah rumah yang menyebabkan seorang lelaki berusia 34 tahun cedera parah di bahagian kepala.

"Tindakan awal anggota di lokasi, mengeluarkan mangsa dari dalam rumah dan rawatan awal dijalankan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi terkawal pada pukul 2.01 pagi dan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dilakukan oleh anggota di lokasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan