AM

SABAH CATAT HASIL JUALAN RM3.5 JUTA DI MATTA FAIR KUALA LUMPUR - JONISTON

17/09/2024 06:46 PM

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Sabah berjaya menjana jualan pakej pelancongan bernilai RM3.5 juta sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Sept lepas.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai berkata pakej bertemakan CAN Sabah (Kebudayaan, Pengembaraan, Alam Semula Jadi) mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung.

Beliau berkata lebih 200 pakej CAN terjual dengan aktiviti melawat pulau dan Perkampungan Budaya Mari Mari menjadi pilihan popular.

“Kami berharap hasil positif ini akan diterjemahkan kepada peningkatan ketibaan pelancong, sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Joniston turut menyatakan minat yang semakin meningkat terhadap destinasi yang jarang diterokai dan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti.

Justeru, katanya bagi terus  mempromosikan tawaran ini, Sabah akan menganjurkan Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti yang pertama di IOI Mall, Putrajaya bermula 16 hingga 20 Okt ini.

Beliau berkata pameran berkenaan akan memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka pakej pelancongan berasaskan komuniti yang unik dan meikmati destinasi menarik di kawasan luar bandar Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffrey Jimit berkata Sabah turut mencatatkan lebih RM6,000 dalam jualan produk termasuk produk Kadaiku; Teh Sabah dan Kopi Yit Foh di Pavilion STB Sabah dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata Teh Sabah dan Kopi Yit Foh adalah produk agro ikonik yang memperkayakan tawaran di Ranau dan Tenom manakala Kadaiku mempamerkan pelbagai jenis kraf tangan unik.

Julinus berkata langkah mempromosikan produk berkenaan adalah penting kerana ia melengkapi usaha pelancongan dan seiring dengan reputasi Sabah dalam industri agropelancongan.

"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai tawaran unik Sabah, yang bukan sahaja menyokong perniagaan tempatan tetapi juga memperkayakan pengalaman pelancong secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata, pelancaran kempen Lima Gunung Terbaik di Sabah semasa MATTA Fair akan membantu meletakkan Sabah sebagai hab pengembaraan di Asia Tenggara.

Menurutnya kempen itu mengetengahkan puncak tertinggi Malaysia yang terletak di Sabah iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Trus Madi, Gunung Sinsing, Gunung Tambuyukon, dan Gunung Kaingaran.

MATTA Fair Kuala Lumpur menyaksikan Sabah dan Sarawak bekerjasama untuk mempromosikan Discover Borneo sebagai destinasi kegemaran Malaysia dengan penyertaan 33 ejen pelancongan dari Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan