SUKAN

CGF GEMBIRA GLASGOW DAPAT SOKONGAN KERAJAAN ANJUR SUKAN KOMANWEL 2026

18/09/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) melahirkan rasa gembira dengan pengumuman Sukan Komanwel Scotland (CGS) telah mendapat sokongan kerajaan berhubung cadangan menjadikan Glasgow sebagai tuan rumah Sukan Komanwel pada 2026.

Presiden CGF Chris Jenkins berkata persekutuan telah bekerjasama dengan CGS dan Kerajaan Scotland selama beberapa bulan, dan gembira selepas kerajaan mengesahkan sokongan mereka yang akan membolehkan CGS meneruskan rancangannya menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

Beliau menambah dengan pelaburan £100 juta (RM558.36 juta) dari CGF, bersama dengan £2.3 juta (RM12.84 juta) daripada Sukan Komanwel Australia, memastikan tiada bantuan kewangan diperlukan daripada Kerajaan Scotland atau UK, sekali gus menunjukkan sokongan padu untuk acara tersebut.

"Kami percaya bahawa Glasgow 2026 akan menandakan satu langkah penting dalam misi kami untuk menjadikan Sukan Komanwel sebagai acara yang dicipta bersama, mampan, dan meminimumkan kos. Acara ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada atlet serta menggembirakan tuan rumah dan persekutuan antarabangsa

“CGF akan terus bekerjasama rapat dengan CGS untuk memuktamadkan perbincangan pihak berkepentingan dan berharap dapat membuat pengumuman rasmi mengenai Glasgow sebagai bandar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jenkins berkata CGF turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Sukan Komanwel (CGA), atlet, Persekutuan Antarabangsa, Badan Pentadbiran Kebangsaan dan pihak berkepentingan lain atas sokongan dan kesabaran berterusan mereka.

Sebelum ini, Australia menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, dan Malaysia dan Singapura yang kemudiannya ditawarkan peluang itu turut menolak tawaran itu.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan