AM

MRS MALAYSIA WORLD 2024 BERI INSPIRASI MELALUI TRANSFOMASI KESIHATAN, KECERGASAN

18/09/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Dr Shalini Devi Ramachandran, pemenang Mrs Malaysia World 2024 merupakan seorang individu yang luar biasa kerana berjaya mengatasi masalah diabetes, sindrom ovari polisistik (PCOS), dan hipotiroidisme menerusi disiplin dalam amalan gaya hidup seharian.

Pada usia 37 tahun, doktor perubatan kelahiran Selangor yang kini menetap di Klang ini berjaya menurunkan berat badan daripada 124 kilogram (kg) kepada 60 kg, membuktikan ketabahan serta dedikasinya yang luar biasa.

Selain kerjayanya dalam bidang perubatan, Dr. Shalini Devi juga merupakan pakar pemakanan sukan bertauliah serta pengasas studio kesihatan di Malaysia dan Singapura. Beliau juga memiliki diploma dalam bidang dermatologi, merupakan peminat kecergasan, dan berpengaruh besar di media sosial sebagai seorang pempengaruh.

“Sebagai seorang doktor perubatan dan pakar pemakanan sukan, saya sentiasa bersemangat dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan. Perjalanan hidup saya telah mengilhamkan saya untuk memperjuangkan perubahan gaya hidup, dan saya berbangga menjadi ahli Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM),” katanya kepada Bernama selepas dimahkotakan sebagai Mrs Malaysia World 2024, di sebuah hotel di Klang, pada Isnin.

Dr Shalini Devi telah dimahkotakan oleh Mrs Malaysia World 2023 Vanishaa Rameas, yang berjaya menduduki kedudukan enam terbaik dalam pertandingan Mrs World 2023 dan memenangi anugerah Kostum Kebangsaan Terbaik (Paling Asli) di pertandingan berprestij itu.

Bersama-sama suaminya, Dr Yuveneswara Murti, yang juga berusia 37 tahun, Dr Shalini Devi mengendalikan sebuah klinik perubatan.

Mengulas mengenai gelaran Mrs Malaysia World yang dimenanginya, beliau berkata bahawa gelaran tersebut bukan sekadar pencapaian peribadinya, tetapi juga bukti komitmen terhadap gaya hidup yang lebih sihat.

“Melalui program peribadi saya, saya berjaya menurunkan berat badan daripada 124 kg kepada 60 kg. Perjalanan ini sangat mencabar, namun ganjarannya amat besar,” katanya.

“Minat saya dalam kecergasan berkembang seiring waktu, dan saya melatih diri di rumah hingga memperoleh sijil jurulatih kecergasan dalam pelbagai disiplin. Dengan pendekatan pemakanan berdisiplin, saya berjaya mencapai matlamat dan kini bebas daripada masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini,” kata Dr. Shalini Devi.

“Perjalanan ini mengajar saya bahawa dengan dedikasi dan sokongan yang tepat, sebarang matlamat boleh dicapai. Saya berharap kisah saya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk mempercayai diri sendiri dan terus berusaha walaupun menghadapi cabaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Nasional Mrs Malaysia World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur mengumumkan bahawa Dr Shalini Devi akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Mrs World 2024.

“Seperti biasa, kami berhasrat untuk mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records dengan kostum kebangsaan rahsia kami, yang akan didedahkan semasa pertandingan antarabangsa itu,” katanya  kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan