SUKAN

KIAN MENG-PEI JING MARA KE PUSINGAN KEDUA TERBUKA CHINA 2024

18/09/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pemain beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing hanya mengambil masa 31 minit untuk mara ke pusingan kedua Terbuka China 2024 selepas menewaskan wakil India Reddy B Sumeeth-Reddy Sikki hari ini.

Pasangan yang berada di ranking ke-17 dunia itu tidak berdepan masalah mencatat kemenangan mudah 21-10, 21-16 di Changzhou.

Menanti Kian Meng-Pei Jing di pusingan kedua esok adalah pasangan Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund yang mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun dalam aksi set penentuan 14-21, 22-20, 21-16.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Yu Sin turut mara ke pusingan kedua selepas menang 21-17, 21-16 ke atas pasangan Taiwan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang.

Pang Ron-Yu Sin bakal bertemu rakan senegara Yap Roy King-Valeree Siow yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama bagi merebut slot ke suku akhir.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tumpas kepada juara bertahan dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae 21-10, 21-18.

Min Hyuk-Sung Jae bakal membuat perhitungan bersama pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turut mara selepas menumpaskan pasangan tuan rumah Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 21-17, 21-19 semalam.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan