EKONOMI

BURSA MALAYSIA DIJANGKA KEMBALI MENINGKAT MINGGU DEPAN

28/09/2024 10:29 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mencatatkan kenaikan semula minggu depan, didorong oleh kesan limpahan daripada kenaikan kukuh berterusan di pasaran China dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata aliran masuk dana asing berterusan yang dijana oleh jangkaan pengurangan lagi kadar faedah, ditambah dengan pengukuhan ringgit, boleh meningkatkan sokongan terhadap FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

“Bagaimanapun, penting untuk menyedari bahawa sentimen pasaran kekal terdedah kepada kejutan luaran dan perkembangan domestik.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras itu mencecah julat 1,660 hingga 1,680 minggu depan, menunjukkan keadaan persekitaran pasaran semasa yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keyakinan baharu terhadap langkah rangsangan terkini China menunjukkan potensi aktiviti ekonominya untuk mencatatkan peningkatan semula, yang berkemungkinan memacu permintaan untuk komoditi khususnya dalam sektor seperti minyak dan gas, perladangan dan bahan binaan.

Selain itu, China akan mengeluarkan kedua-dua data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) rasmi dan Caixin pada Isnin.

Mohd Sedek turut menjangkakan sedikit peningkatan yang direkodkan PMI pembuatan rasmi kepada 49.3 daripada 49.1, yang boleh memberikan pandangan jauh mengenai trajektori pemulihan ekonomi China.

“Selain perkembangan ini, kami menjangkakan momentum belian yang kukuh di Wall Street, didorong oleh keyakinan baharu terhadap sektor semikonduktor dan teknologi akan meluas ke dalam ekuiti tempatan.

“Ini amat relevan untuk indeks teknologi Bursa Malaysia, yang mengalami penurunan pada minggu dagangan sebelum ini. Saham bermodal kecil, khususnya, berpeluang meningkat susulan sentimen yang bertambah baik ini,” katanya.

Bursa tempatan secara amnya mencatatkan dagangan lebih rendah minggu ini berikutan pengambilan untung dalam keadaan sentimen serantau yang positif selepas China melancarkan langkah rangsangan ekonomi yang baharu.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.73 mata kepada 1,660.09 daripada 1,668.82 ketika ditutup pada minggu sebelumnya.

Di seluruh papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas susut 152.15 mata kepada 12,386.60, Indeks FBM Emas Syariah turun 99.43 mata kepada 12,313.04, Indeks FBMT 100 menguncup 143.04 mata kepada 12,088.17, Indeks FBM 70 merosot 503.42 mata kepada 17,438.48, dan Indeks FBM ACE kurang 44.78 mata kepada 5,158.05.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.50 mata kepada 177.34, Indeks Tenaga kurang 19.97 mata kepada 856.75, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 222.48 mata kepada 19,466.3.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan meningkat 16.58 mata kepada 7,193.23.

Jumlah dagangan meningkat kepada 16.61 bilion unit bernilai RM15.08 bilion daripada 13.67 bilion unit bernilai RM16.15 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.64 bilion saham bernilai RM13.76 bilion daripada 8.37 bilion saham bernilai RM15.22 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan waran sebanyak 5.87 bilion unit bernilai RM747.19 juta berbanding 3.69 bilion unit bernilai RM403.07 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 2.08 bilion saham bernilai RM567.43 juta daripada 1.60 bilion saham bernilai RM519.71 juta sebelum ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan