AM

SELANGOR SASAR PEMBINAAN 60,000 UNIT RUMAH IDAMAN MENJELANG 2027

28/09/2024 03:16 PM

CYBERJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan 60,000 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif Rumah Idaman dapat dibina menjelang 2027, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata momentum pembinaan rumah di bawah inisiatif itu berjalan baik dengan 40,000 unit kini dalam proses menunggu kelulusan berkaitan. 

“(Inisiatif Rumah Idaman) yang dalam pipeline maknanya (dalam) kelulusan dan menunggu proses kebenaran merancang dan kebenaran bangunan dan sebagainya itu lebih kurang 40,000 unit.

“Yang dalam pembinaan 10,000 unit, kita sasarkan dulu iaitu 2026 atau 2027 kita ada 60,000 unit (rumah di bawah inisiatif Rumah Idaman),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Idaman, Putra Idaman dan majlis pecah tanah Saujana Idaman di sini hari ini.

Rumah Idaman merupakan inisiatif kerajaan Selangor yang berjaya dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rumah berkualiti dan mampu milik di pusat-pusat bandar strategik.

Inisiatif ini menawarkan unit-unit yang direka khas untuk rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan M40, khususnya pembeli rumah pertama dan keluarga kecil yang ingin menempatkan diri dalam pasaran hartanah.

Sementara itu, Amirudin berkata projek rumah di bawah Rumah Idaman menawarkan pakej menarik untuk pembeli kerana unit ditawarkan luas serta dilengkapi penghawa dingin.

Projek Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra di bawah Kumpulan Oriental Interest Berhad (OIB) dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui anak syarikatnya PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB) disasarkan siap pada 2028.

Putra Idaman akan menampilkan dua blok apartmen, menawarkan sejumlah 502 unit berkelengkapan separa. Setiap unit dijual pada harga RM250,000 dan direka khas untuk keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan