AM

PRK MAHKOTA: RENTAS SELAT TEBRAU DEMI TANGGUNGJAWAB

28/09/2024 04:22 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Selat Tebrau tidak menjadi penghalang buat pengundi Nurakmal Shafiq Norapandi yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan hak sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini. 

Nurakmal Shafiq, 28, berkata kos dan masa yang perlu dibayarnya bagi perjalanan itu hanya pengorbanan kecil beliau untuk kemudahan keluarga yang menetap di sini, selain menyifatkan ia  peluang untuk membawa keluarga pulang bercuti. 

"Saya sudah mengambil cuti sejak dua minggu lepas kerana tarikh PRK sudah lama dimaklumkan. Alang-alang pulang mengundi, saya bawa keluarga kerana ramai juga saudara mara yang balik. Jadi dapat juga berkumpul walau sekejap.  

"Tapi niat utama sudah pastilah untuk mengundi...untuk Mahkota kita," katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini hari ini. 

Nurakmal Shafiq berkata mereka bertolak dari Singapura pada 7 petang semalam dan singgah sebentar di Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan sekitar 11 malam dan tiba di Kluang dua jam kemudian. 

Turut pulang mengundi ialah lima beradik iaitu Zahreen Zainal, 48, Mahanun, 39, Mohamad Helmi, 37, Tarmizi Zainal, 29, dan Siti Khadijah, 25, yang hadir bersama-sama ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Melayu di sini pagi tadi. 

 Zahreen yang menetap di Puchong, Selangor berkata beliau mengambil keputusan untuk balik mengundi kerana tanggunjawab sebagai warganegara selain peluang untuk berkumpul bersama adik-beradik yang tidak mudah dilakukan jika bukan disebabkan hari istimewa atau majlis keluarga. 

Anak kedua daripada sembilan beradik itu yang tiba di Kluang semalam menambah, undi beliau menzahirkan keinginannya untuk mendapat sebuah kerajaan yang membantu dan fokus terhadap rakyat, terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU) kerana beliau merupakan pesakit angin ahmar sejak lapan tahun lepas. 

Sementara itu, Mohamad Helmi yang tinggal di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru yang tercedera di bahagian lutut, tetap bersemangat mengundi walaupun datang dengan berkerusi roda.

“Teruja untuk balik ke kampung bagi mengundi, tetapi sudah menjadi seperti ‘reunion’ pula apabila ramai adik-beradik pulang termasuk yang tidak mengundi di sini,” katanya.

Siti Khadijah yang bekerja di Kuantan, Pahang pula berkata beliau dan suami mengambil cuti untuk mengundi selain tidak sabar untuk berkumpul bersama keluarga besarnya kerana ada yang pulang dari Melaka, Selangor dan daerah lain di Johor.

"Dalam pilihan raya, setiap undi adalah berharga. Itu sebabnya kami pulang mengundi," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan