AM

GM KLANG SERTAI HARI CUCI MALAYSIA , BERSIHKAN KAWASAN SEKITAR

28/09/2024 04:24 PM

KLANG, 28 Sept (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang (GM Klang) mengambil inisiatif untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam menerusi program 'Earth Warriors Day' sempena Hari Cuci Malaysia 2024 hari ini. 

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menyaksikan peserta melakukan aktiviti pengutipan sampah di sekitar kawasan berhampiran pusat borong berkenaan serta pusat perniagaan lain berhampiran. 

Beliau berkata program yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Persatuan Pahlawan Bumi itu merupakan antara cara syarikat tersebut menyumbang kembali kepada masyarakat di samping memelihara alam sekitar. 

"Dengan kekuatan kira-kira 60 orang termasuk komuniti GM Klang serta pihak pengurusan dan dengan sokongan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita turut mengambil bahagian dalam Program Mega Pembersihan Seluruh Negara yang berlangsung secara serentak hari ini.

“Sebagai sebuah entiti korporat kita peka dengan kebersihan alam sekitar. Sebab GM KLang selain daripada aktiviti bisnes kita pastikan fasiliti yang selesa bukan sahaja di dalam tetapi juga di kawasan sekitar premis," katanya ketika ditemui selepas program tersebut di sini hari ini. 

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembersihan kawasan terpilih selama satu jam dan sampah-sarap yang berjaya dikutip akan ditimbang oleh pihak KPKT sebelum dibuang ke tong roro yang disediakan. 

Bagi menceriakan lagi program pembersihan itu, GM Klang turut mengadakan pertandingan fotografi berkumpulan dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik untuk para peserta.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyempurnakan prapelancaran sambutan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena Hari Pembersihan Sedunia 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, Putrajaya.  

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan