SUKAN

LTDL 2024: BEBERAPA JALAN DI TAIPING DITUTUP, DILENCONG SELASA INI

28/09/2024 05:22 PM

IPOH, 28 Sept (Bernama) -- Beberapa jalan raya di sekitar Taiping akan ditutup dan dilencongkan bermula 6.30 pagi hingga selesai pada Selasa ini (1 Okt) sempena perlumbaan peringkat ketiga edisi ke-28 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata laluan yang ditutup itu membabitkan Jalan Tasik Lestari (hala ke Zoo Taiping) dan Jalan Air Terjun (simpang Taman Botani hala ke Zoo Taiping).

“Penutupan dan lencongan secara berperingkat untuk memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan di lokasi permulaan di Zoo Taiping bagi memastikan kelancaran perlumbaan LTdL 2024.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif selain disaran mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai serta anggota trafik bagi melancarkan pergerakan trafik dan memberi laluan kepada perlumbaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini

Mohamad Nasir berkata penutupan dan lencongan secara berperingkat membabitkan beberapa jalan turut dilakukan bermula 10.15 pagi iaitu 45 minit sebelum perlumbaan bermula pada 11 pagi di Zoo Taiping. 

“Antara jalan yang akan ditutup secara berperingkat sepanjang acara itu berlangsung ialah Jalan Zoo Taiping menghala Penjara Taiping, Jalan Pekeliling, Lampu Isyarat Jalan Kamunting Lama, Jalan Tamingsari dan beberapa kawasan lampu isyarat di Ambank, Hospital Taiping, HSBC lama dan lampu isyarat Titi Kota. 

“Turut ditutup lampu isyarat Taman Kaya, KFC Simpang, Taman Damai, Changkat Jering, Masjid Kampung Jelutong, Bukit Gantang termasuk jalan di Kampung Pauh dan sempadan daerah Taiping/Kuala Kangsar (Bukit Berapit),” katanya. 

Beliau berkata semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan jalan berkenaan.

Pengguna juga dilarang sama sekali untuk meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan sepanjang laluan LTdL bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Jalan akan dibuka semula kepada semua lalu lintas selepas perlumbaan selesai ke sempadan yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan