AM

EKSESAIS SAMUDERA TIMUR TINGKAT KEBOLEHOPERASIAN, PERSEFAHAMAN KOMUNITI MARITIM

28/09/2024 06:10 PM

KOTA KINABALU, 28 Sept (Bernama) -- Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024 yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan kebolehoperasian dan persefahaman komuniti maritim dalam memastikan kestabilan serta keamanan serantau khususnya di Laut China Selatan.

Markas Pemerintahan Armada Timur Kota Kinabalu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan latihan bersepadu itu diadakan di Kota Kinabalu bermula 23 hingga 27 Sept lepas melibatkan dua kapal TLDM iaitu KD Kelantan dan KD Renchong serta sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM).

“Latihan kali ini turut melibatkan elemen daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM dan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM dalam siri latihan High Risk Visit, Board, Search and Seizure (VBSS),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu tema latihan berkenaan adalah Peperangan dan Mencari dan Menyelamat (SAR) selaras dengan pelan hala tuju enam tahun (2023-2028) yang telah dibangunkan.

Kenyataan itu memaklumkan eksesais tersebut telah dirasmikan Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin pada Rabu lepas manakala Pengarah Maritim Negeri  Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik merasmikan majlis penutupnya semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan